Saturday, November 1, 2008

Kriteria Saham Halal

Assalamu'alaikum wr wb.

Artikel ini adalah bagian pertama daripada dua bagian tentang Kreteria dan Hukum Jual beli saham menerusi Internet. Bagian ini lebih menumpukan kepada kriteria saham-saham yang dihukumkan halal oleh lembaga pengawas perbankan Islam. Penentuan halal tidaknya sesebuah saham bergantung kepada banyak faktor. di antara yang terpenting adalah jenis usaha mestilah halal dan akadnya mesti memenuhi kriteria akad yang shahid dalam sistem Mudharabah atau Murabahah. Semoga bermanfaat.
Salam

HALALKAH BELI SAHAM MENERUSI INTERNET?
DR MUHAMMAD SHABRI ABD MAJID

Beberapa kriteria perlu dipenuhi jika mahu penuhi kehalalan sesebuah saham.
Apakah pulangan yang diperolehi daripada keuntungan jual beli saham yang terkadang sangat besar tersebut halal di sisi Islam?

Dengan lain perkataan, bagaimanakah hukum membeli saham konvensional dalam Islam sama ada membeli secara langsung di pasaran saham atau melalui Internet?
Apakah kriteria-kriteria saham halal?

Untuk menjawab pertanyaan ini, kita harus mengetahui terlebih dahulu jenis-jenis saham dan ciri-cirinya.

SAHAM BIASA BERBANDING TERPILIH
Secara kasar, saham terdiri daripada dua jenis, iaitu saham biasa (common stock) dan saham terpilih (preferred stock).
Membeli kedua-dua jenis saham ini akan memberikan hak pemilikan kepada si pembeli (pelabur).

Walaupun pembeli saham terpilih dapat menuntut pulangan dari pulangan dan aset perusahaan, mereka tidak memiliki hak dalam menentukan dasar perusahaan.
Jumlah pulangan (dividen) yang diperolehi adalah tetap.

Katakanlah, Tuan 'A' membeli saham yang dikeluarkan Perusahaan ABC sebanyak 12,000 unit lembar dengan harga $1 seunit akan diberi pulangan $0.05 seunit.
Jadi, jumlah pulangan yang diperolehi Tuan 'A' adalah $600 atau 5 peratus daripada jumlah modal yang dikeluarkan, iaitu $12,000 (12000 unit x $1 ).
Ertinya, jumlah pulangan yang diperolehi Tuan 'A' ditentukan oleh jumlah saham yang dibeli, bukan harga saham/seunit.

Pembeli saham terpilih ini mendapat layanan istimewa yang mana setiap pembahagian dividen akan diutamakan kepada mereka terlebih dahulu.
Dan apabila perusahaan masih memiliki lebihan pulangan, barulah dibahagikan kepada para pembeli saham biasa.

Begitu juga kalau perusahaan muflis, hasil penjualan aset perusahaan akan diprioritikan untuk mengganti rugi para pembeli saham terpilih, dan jika masih terdapat lebihan hasil penjualan aset perusahaan baru akan diberikan kepada pembeli saham biasa.
Tidak seperti halnya pembeli saham terpilih yang tidak memiliki hak suara dalam menentukan dasar perusahaan, pembeli saham biasa mempunyai hak suara untuk memilih pengurus.
Semakin besarnya jumlah saham yang dimiliki seseorang, semakin berpeluang untuk mengendalikan perusahaan.

Dengan memiliki hak suara, maka pemegang saham biasa ini akan dapat mengawal operasi perusahaan kerana pada prinsipnya merekalah pemilik perusahaan yang sesungguhnya.
Dividen yang diperoleh pembeli saham biasa adalah tidak tetap, iaitu ia berkait rapat dengan pulangan yang diperolehi perusahaan.
Pendek kata, membeli saham biasa adalah jauh lebih berisiko dibandingkan dengan membeli saham terpilih.

Yang menjadi permasalahan sekarang adalah apakah kedua-dua jenis saham di atas halal dipandang dari sudut syariah (shariah compliant)?
Apakah kriteria yang harus dipenuhi agar saham itu menjadi halal?.
Dan apakah kriteria kehalalan saham-saham yang ditransaksikan di Dow Jones Islamic Market, yang dilancarkan pada 9 Februari 1999 di Manama, Bahrain?

SAHAM SYARIAH
Memandangkan jumlah dividen yang diterima pembeli saham terpilih adalah tetap, maka ulama bersepakat bahawa membeli saham terpilih adalah haram hukumnya.
Bahkan, para ahli fikah melihat dividen tetap itu sama seperti faedah/riba. Memang antara dividen tetap dengan faedah terdapat perbezaan, tetapi ia memiliki kesamaan dengan riba.
Dividen tidak dijamin pembayarannya apabila perusahaan dalam keadaan rugi, sedangkan faedah harus dibayar tidak kira perusahaan mendapat untung atau rugi.

Begitu juga, kalau perusahaan dileburkan, pemegang saham ini ada kemungkinan tidak mendapat bayaran ganti rugi kalau aset yang dijual tidak mencukupi.
Meskipun pemegang saham ini mungkin rugi atau untung, sifat semula jadi dividen tetap lebih menyerupai riba.
Sementara itu, pembeli saham biasa turut mengambil risiko.
Pulangan saham biasa adalah tidak tetap dan tidak terjamin. Prinsip ini lebih menyerupai Qiradh.

Inilah sebabnya majoriti ulama menganggapnya halal.
Walaupun ia halal, untuk menjamin kehalalannya, saham biasa ini harus memenuhi beberapa kriteria syariah yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah (DPS) atau Shariah Supervisory Council.

Untuk menentukan kehalalan saham, proses penapisan saham (stock screening) akan dilakukan oleh DPS untuk memastikan agar saham tersebut benar-benar bebas daripada unsur gharar (ketidakpastian), bunga (riba), tatfief (penipuan) dan perjudian.

PROSES PENAPISAN SAHAM SYARIAH
Dalam menentukan halal tidaknya sebuah saham, DPS akan meneliti kegiatan perusahaan yang menerbitkan saham itu agar tidak mengandungi perjudian, gharar, riba dan amalan salah yang bertentangan dengan syariah.

Misalnya, perusahaan penerbit saham yang bergerak di bidang kewangan, perbankan dan insurans konvensional dianggap melanggar syariah kerana mengandungi unsur riba.
Kegiatan perhotelan yang menyediakan kasino, disko, pelayanan seks, dan restoran yang menjamu babi panggang dan arak juga diharamkan.
Bahkan, ada yang menambah bahawa perusahaan penerbit saham syariah tidak terlibat dalam bisnis rokok dan senjata. Pendek kata, kegiatan utama perusahaan haruslah tidak bertentangan dengan syariah.

Walaupun ada unsur-unsur haram, jumlahnya harus minimum, sehingga tanggapan dan imej masyarakat terhadap perusahaan tidak tercemar. Ertinya, bisnes utama perusahaan itu hendaklah memberi kemaslahatan (maslahah), bukannya kerosakan (mafsadah).
Pakar syariah Timur Tengah tidak berhenti di situ.

Ini kerana menurut mereka, walaupun kegiatan perusahaan itu dipandang halal, boleh sahaja perusahaan tersebut meminjam atau melaburkan dana mereka berteraskan praktik ribawi.
Oleh itu, untuk menentukan halal tidaknya saham tersebut, harus dilakukan penyaringan kewangan (financial filtering). Financial filtering ini berpandukan pada jumlah peratusan minimum nisbah kewangan yang harus dipenuhi saham syariah.

Misalnya, menurut Indeks Syariah Dow Jones (Dow Jones Islamic Index), nisbah kewangan saham halal adalah sebagai berikut:

  1. Nisbah Piutang dengan Aset Keseluruhan tidak boleh melebihi 45peratus;
  2. Nisbah jumlah hutang keseluruhan dengan permodalan pasaran tidak melebihi 33 peratus ; dan
  3. Nisbah Kas + Sekuriti Berfaedah dengan permodalan pasaran tidak melebihi 33 peratus .

Seterusnya, menurut iHilal.com, saham halal itu harus:
nisbah pulangan berfaedah dengan jumlah keseluruhan pulangan tidak melebihi 10 peratus; dan
nisbah Kas + Sekuriti berfaedah + Piutang dengan jumlah aset penuh tidak melebihi 33 peratus.

Sementara itu, saham halal versi IslamiQ.com harus:
nisbah Kas + Sekuriti berfaedah dengan jumlah aset penuh tidak melebihi 45 peratus; dan
Pulangan berfaedah dengan jumlah pulangan kasar tidak melebihi 5 peratus.
FTSE-GII (Financial Times Stock exchange-Global Islamic Indices) mensyaratkan saham halal itu harus memiliki nisbah hutang penuh dengan aset penuh yang tidak melebihi 33 peratus.
GTEF (Global Trading Equity Fund) mensyaratkan saham halal itu harus memiliki nisbah Pulangan berfaedah dengan Pulangan Bersih kurang daripada 15 peratus.
Al-Fanar Invesment Holdings, N.V. mensyaratkan nisbah Pulangan berfaedah dengan Perjualan Bersih harus lebih kecil daripada 15 peratus.

Akhirnya, al-Nuqba Asia Equity Fund mensyaratkan nisbah faedah dengan Pulangan Bersih harus lebih kecil daripada 10 peratus.
Kesemua nisbah kewangan di atas menunjukkan bahawa walaupun perusahaan penerbit saham terlibat dalam kegiatan riba, peratusannya harus sangat kecil sekali.
Ini kerana diragukan ada kegiatan perusahaan penerbit saham yang mungkin bertentangan dengan syariah, maka pulangan yang diperolehi perusahaan penerbit saham harus dibersihkan dengan mengeluarkan zakat dan memberi infak.

Diharapkan zakat dan infak tersebut akan mensucikan pulangan yang diperolehi penerbit saham yang kemudian akan dibahagi-bahagikan kepada pembeli saham.


Sumber:
http://cyberita.asia1.com.sg/