Sunday, February 8, 2009

ENAM KELEMAHAN UTAMA OPERASI PERBANKAN ISLAM

Oleh: Dr Muhammad Shabri Abdul Majid

MELIHAT operasi perbankan Islam di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia, ternyata bank-bank Islam kita masih terikut-ikut dengan 'gaya' dan operasi bank-bank Islam di serata dunia.

Kebanyakan operasi bank Islam masih bertentangan dengan nilai- nilai Islam.
Begitu juga dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, ia masih didominasi oleh produk- produk yang masih diperdebatkan kehalalannya oleh para ahli perbankan dan pakar ekonomi Islam kontemporari.
Perkara yang sama juga berlaku pada bank Islam kita.

ENAM KELEMAHAN UTAMA OPERASI PERBANKAN ISLAM
Dalam artikelnya Islamic Banks and Investment Financing, Aggarwal dan Yousef (1996) menyebutkan bahawa setidak-tidaknya wujud enam kelemahan utama operasi perbankan Islam dewasa ini, termasuk bank-bank Islam rantau ini.

1. Cara pembiayaan bank Islam masih didominasi oleh sistem mark up (menaikkan harga) berbanding sistem profit-loss sharing (bagi hasil).
Walaupun sistem pembiayaan mark up dianggap 'halal', ia harus dihindari dan dihadkan.

Ini kerana menurut Siddiqi (1983) dan Khan (1987), sistem ini akan membuka pintu belakang bagi amalan riba.

Sistem pembiayaan perbankan Islam, pada amnya, ada dua jenis:

  • Sistem Bagi Hasil (SBH); dan
  • Sistem Mark Up (SMU).
    SBH terdiri daripada Mudharabah dan Musyarakah.

Dalam sistem pembiayaan Mudharabah, pihak bank bertindak sebagai pemberi modal (Sahib al-Mal) dalam sebuah usaha yang dijalankan oleh wirausahawan (pelanggan bank), di mana keuntungan dan kerugian usaha akan dinikmati bersama sesuai dengan perjanjian.

Sementara itu, Musyarakah adalah sistem pembiayaan yang selain bertindak sebagai pemberi modal, pihak bank, pada masa yang sama juga, bertindak sebagai pelaku usaha bersama-sama pelanggan bank berkenaan.
Selanjutnya, SMU yang amnya dipraktikkan bank Islam dewasa ini adalah Murabahah dan Ijarah.

Dalam Murabahah, pihak bank akan membeli barang/benda sesuai dengan permintaan pelanggan, dengan pihak bank akan mengambil keuntungan melalui cara menaikkan harga jual, yang dibayar oleh pelanggan sama ada secara ansuran ataupun tunai.

Contohnya:
Tuan Kapluk datang ke bank Islam dan hendak membeli sebuah rumah.
Jadi, pihak bank akan membeli rumah seperti yang diinginkan Tuan Kapluk (pelanggan) dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

Misalnya, harga beli rumah tersebut adalah $200,000, namun pihak bank akan menjualnya dengan harga $230,000 (melakukan mark up harga sebanyak $30,000) kepada pelanggan.

Tuan Kapluk, sebagai pembeli, perlu membayar harga rumah dengan ansuran selama beberapa tahun, selari dengan kesepakatan bersama.
Dalam Ijarah pula, pihak bank membeli barang/benda untuk disewakan kepada pelanggan bank dengan harga tetap.

Boleh jadi, pemilikan harta/ benda itu tetap berada pada pihak bank atau secara berperingkat dipindahkan kepada pembeli (pelanggan).
Ijarah ini sering disebut dengan sistem sewa-menyewa (leasing).
Menilai dua sistem pembiayaan di atas, kedua-dua pihak - sama ada bank mahupun peminjam (pelanggan) dalam SBH - sama-sama harus mengambil risiko sedangkan dalam SMU pihak bank sama sekali tidak menghadapi risiko, bahkan keuntungannya sudah diketahui sebelumnya (predetermined).
Inilah yang menyebabkan para pakar perbankan dan ekonomi Islam menentang SMU.

Sikap bank Islam yang tidak mahu menghadapi risiko inilah yang menyebabkan praktik bank Islam masih dianggap menyerupai dan bahkan 'sama' dengan cara kerja bank konvensional.

Akibatnya, banyak umat Islam yang masih meragukan kesahihan bank Islam sebagai institusi untuk menyimpan dan meminjam wang yang tepat berlandaskan sunnatullah.

2. Struktur pembiayaan bank Islam masih didominasi sistem pembiayaan jangka pendek berbanding sistem pembiayaan jangka sederhana dan panjang.
Bank Islam masih memilih SMU, seperti Murabahah dan Ijarah yang amnya bersifat jangka pendek berbanding SBH yang relatif bersifat jangka sederhana dan panjang.

Dengan lain perkataan, struktur pembiayaan bank Islam lebih difokuskan bagi menjana keuntungan sendiri (tidak mahu mengambil risiko) berbanding daripada mengoptimumkan keuntungan pelanggannya.

3. Dalam memberikan pinjamannya, bank Islam lebih mengutamakan sektor perdagangan, kewangan dan perkhidmatan berbanding sektor-sektor pertanian dan industri.

Padahal sektor pertanian dan industri yang sepatutnya mendapat keutamaan kerana kedua-duanya merupakan penuras utama pembangunan dan kesejahteraan ekonomi umat.

4. Bank Islam masih tidak boleh melepaskan operasinya daripada perangkap riba.
Bank Islam masih harus menyimpan simpanannya di Bank Pusat, seperti Bank Negara di Malaysia dan Bank Indonesia di Indonesia, dan bahkan kelebihan dana mereka sering disimpan di bank-bank konvensional lain sama ada di dalam ataupun luar negeri yang operasinya masih berkonsepkan riba.
Keupayaan untuk menubuhkan Bank Pusat Islam yang bebas daripada bank pusat konvensional dipercayai sebagai salah satu cara untuk memurnikan operasi bank Islam daripada unsur-unsur riba sehingga ia benar-benar Islami.

5. Dalam memberi pinjaman kepada pelanggan, bank Islam masih meminta jaminan (kolateral) kewangan kerana takut menghadapi risiko.
Padahal idealnya, dalam memberi pinjaman kepada para pelanggan, bank Islam tidak dibenarkan meminta jaminan terhadap wang yang dipinjamkan kepada pelanggan.

Ironinya, bank Islam ternyata telah menetapkan jumlah jaminan yang relatif lebih besar berbanding daripada yang dipungut bank konvensional lainnya.
Maka kita tidak perlu hairan apabila sering mendengar aduan masyarakat bahawa mengambil pinjaman wang di bank-bank ribawi jauh lebih mudah, murah dan menguntungkan berbanding dengan bank Islam.

6. Terakhir, seperti yang disebutkan sebelum ini, bank Islam lebih mengutamakan keuntungannya berbanding daripada kemaslahatan pelanggan.
Buktinya, jumlah 'pinjaman sosial' seperti Qard al-Hasan - yang bersifat bantuan atau hibah pinjaman yang tidak mengharuskan para peminjam membayar bunga (melainkan kewajipan membayar modalnya sahaja) - sama sekali tidak terdapat dalam bank Islam.

Kalau pun ada, jumlahnya sungguh sangat sedikit sekali. Dengan lain perkataan, pembiayaan zero return basis ini harus diberi perhatian seimbang dengan menyediakan pinjaman sosial kepada individu atau organisasi-organisasi Islam sama ada disalurkan dalam bentuk kewangan (modal) ataupun dalam bentuk harta (peralatan dan bahan baku).

Namun, perlu diingat bahawa dalam memberikan pinjaman sosial ini, pihak bank berhak memungut kos perkhidmatan atau pentadbiran, sekadar cukup bagi menampung kos pentadbiran.

Menurut Khan dan Mirakhor (1987), kos pentadbiran yang dipungut itu tidak harus mencerminkan jumlah pinjaman sosial yang diberikan dan tempoh pembayarannya.

KESIMPULAN
Melihat keenam-enam aspek di atas, ternyata pelaksanaan pembiayaan bank Islam tidak jauh berbeza daripada produk bank konvensional sehingga ia belum mampu mengoptimumkan kesejahteraan dan kemaslahatan umat.
Bank Islam harus diperkasa dan dimurnikan operasinya sehingga selari dengan maqashid syari'ah.

Mutu sumber daya manusia perbankan Islam harus ditingkatkan.
Untuk menjadi pakar bank Islam tidak cukup hanya dilengkapi ilmu perbankan konvensional tanpa pemahaman tentang ilmu-ilmu Fiqh Muamalah dan Usul Fiqh.
Pemahaman tentang ilmu Islam dan perbankan am mutlak diperlukan kerana operasi perbankan Islam tidak terlepas daripada persoalan hukum-hukum dan ilmu perbankan.

Banyak tenaga perbankan Islam sekarang hanya memahami ilmu perbankan konvensional dan tidak memiliki latar belakang yang kuat dalam ilmu Fiqh Muamalah dan Iqtisad (Ekonomi Islam).

Sebaliknya, mereka yang memiliki pemahaman tentang Fiqh Muamalah dan Iqtisad sangat sedikit ilmunya tentang perbankan konvensional.
Untuk mengatasi terhadnya tenaga perbankan Islam, institusi pendidikan tinggi harus memikirkan dan mengambil langkah serius untuk memperkenalkan jurusan dimaksudkan.

Selanjutnya, keberhasilan bank Islam sangat ditentukan oleh dukungan positif semua pihak sama ada para profesional (banker, peguam atau akauntan), mahupun pakar-pakar akademik.

Di rantau ini, bank Islam bukan hanya menjadi pilihan Muslim, malah turut dilanggani warga bukan Muslim (kaum Cina dan India) yang jumlahnya kian meningkat.

Diharapkan masyarakat kita turut berperanan aktif dalam memperkasakan operasi bank Islam supaya pihak bank mampu memberikan manfaat dan layanan terbaik kepada pelanggannya berbanding yang diberikan oleh perbankan konvensional.
Siapa pun akan tergerak hatinya dan jatuh cinta kepada bank-bank Islam andainya mereka mampu memberikan yang terbaik kepada pelanggannya.
Sebaliknya, apabila perkhidmatan bank Islam tidak sebaik jika dibandingkan dengan perbankan konvensional, tidak mustahil perkembangan bank Islam akan tergendala.

Sesungguhnya, perkhidmatan yang baik merupakan salah satu 'modal' utama bank-bank menarik minat para pelanggan.

Untuk melihat bank Islam 'bertakat', tumbuh dan berkembang serta mampu menandingi bank-bank konvensional, mereka harus sentiasa meningkatkan profesionalisme serta melakukan kepelbagaian produk yang sesuai dengan nilai-nilai Islami seperti al-Wakalah (letter of credit), al-Kafalah (letter of guarantee), Musyarakah Mutanaqisah (Diminishing ownership of the partnership) dan al-Qard al-Hasan (soft-loan).

Semoga bank Islam terus memperkemas diri dengan mengambil langkah-langkah peningkatan dan seterusnya mampu menarik minat masyarakat Islam dan juga bukan Islam untuk menjadikannya sebagai bank pilihan mereka, Insya-Allah.
Nota: Penulis seorang pensyarah di Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi & Sains Pengurusan UIAM.

Sumber:
Berita Harian Singapura 2 Februari 2009.
http://cyberita.asia1.com.sg/luarnegara/story/0,3617,134899,00.html

Salam

Idham Halid Romli