Monday, October 6, 2008

Broker Saham Islam

Assalamu'alaikum wr wb.

#Artikel ini saya dapat dalam wabesite Persatuan Ekonomi dan Pengurusan Islam Malaysia. Ianya ditulis Oleh pakar Saham Islam Malaysia dan Ketua kepada IEMAM. Semoga bermanfaat dan menambah Ilmu. Salam

BROKER SAHAM ISLAM
Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi
Presiden Persatuan Ekonomi dan Pengurusan Islam Malaysia
(IEMAM)

Semenjak bulan Jun 1994, Bank Islam Malaysia Berhad telah melancarkan kegiatan menjual beli saham secara Islam melalui sebuah anak syarikatnya yang bernama Syarikat Sekuriti BIMB Sendirian Berhad. Kemunculan syarikat ini sebenarnya merupakan satu lagi tambahan kepada institusi kewangan Islam, khasnya institusi pasaran saham yang bergiat semata-mata bagi memberikan perkhidmatan kegiatan jual beli saham secara Islam.

Jikalau penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 1983 dahulu sebenarnya memerlukan suatu akta khas, iaitu Akta Bank Islam, bagi membolehkannya menguruskan kegiatan perbankan secara Islam sepenuhnya, penubuhan Syarikat ini tidak pula begitu. Malahan, ia tidaklah bergerak secara bebas, tetapi tertakluk kepada segala peraturan yang dikenakan oleh Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), kerana ia sememangnya menganggotai BSKL sebagai salah sebuah syarikat ahli, seperti juga syarikat sekuriti atau syarikat broker saham yang lain.

Apakah perlunya syarikat sekuriti yang menjalankan segala urusannya secara Islam kerana dalam kegiatan menjual beli saham dari BSKL, kebanyakan daripada peraturan yang telah ditetapkan oleh BSKL sendiri pun sudah selaras dengan tuntutan syariah? Misalnya, BSKL tidak membenarkan "short-selling" atau menjual saham yang kita belum beli lagi. Ia juga tidak menggalakkan amalan spekulasi yang keterlaluan, seperti mengambil tindakan menggantung syarikat yang harga sahamnya meningkat lebih daripada tiga puluh peratus dalam satu tempoh urusniaga, sama ada sebelah pagi atau sebelah petang.

Dari segi pemilihan saham misalnya, kita boleh memilih saham yang telah diperakui halal oleh BIMB. Jikalaulah kita mengikuti peraturan yang ada pun agak sudah memadai untuk menentukan urusniaga kita itu halal dan diberkati oleh Allah (s.w.t.). Oleh itu, apakah agaknya perkhidmatan yang lain yang diberi oleh syarikat ini?

Sebenarnya, ada banyak faedah yang tidak begitu jelas bagi kita.

Pertama, Syarikat Sekuriti

BIMB berkhidmat untuk mengurusniagakan syarikat-syarikat yang diperakui harus oleh Majlis Pengawasan Syariah BIMB sahaja. Dalam penentuan ini, pertama sekali, ia berpandukan kepada melihat kegiatan utama sesebuah syarikat. Jika kegiatan utamanya tidak bertentangan dengan Islam, walau pun urusan kewangannya tidak dilaksanakan secara Islam, maka syarikat tersebut dianggap harus diurusniagakan setakat ini. Syarat ini digunakan kerana dalam keadaan perjalanan mana-mana syarikat hari ini, hampir tidak mungkin sesebuah syarikat melaksanakan urusan kewangannya secara Islam sepenuhnya. Pertama kerana jumlah modal yang tersedia ada dalam BIMB dan Bank lain yang melaksanakan SPTF tidak mencukupi untuk keperluan semua syarikat yang ada.

Kedua, dalam rangkaian syarikat hari ini, ada yang menjadi anak syarikat, dan ada pula yang menjadi syarikat induk kepada syarikat lain. Maka, prinsip yang digunakan ialah, jika anak syarikat harus diurusniagakan, maka kita tidak perlu melihat kepada status syarikat induknya. Tetapi, jika kegiatan utama bagi sebuah anak syarikat bertentangan dengan Islam, maka syarikat induknya juga dikira tidak harus diurusniagakan.

Masalah yang timbul ialah, syarikat-syarikat yang tersenarai dalam BSKL sentiasa bertukar struktur, pemilikan, kegiatan, kerana dalam dunia koporat moden ini, syarikat-syarikat tersebut tidak berhenti daripada mengambil alih atau diambil alih oleh syarikat lain melalui berbagai cara. Syarikat-syarikat ini pada prinsipnya akan menjual anak syarikatnya atau ekuitinya dalam syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan yang banyak atau tidak berpotensi maju. Sebaliknya, ia akan cuba membeli syarikat lain atau mengambil ekuiti dalam syarikat yang mendatangkan keuntungan yang banyak atau yang berpotensi tinggi untuk maju.

Ada juga syarikat yang besar tetapi belum tersenarai dalam BSKL mengambil alih syarikat lain yang sudah pun tersenarai dalam BSKL semata-mata untuk beroperasi sebagai syarikat yang tersenarai dalam BSKL, tanpa melalui proses penyenaraian yang ditentukan oleh BSKL. Misalnya, HICOM telah mengambil alih New Serendah dan akhirnya menukarkan nama dari New Serendah kepada HICOM.

Ringkasnya, pergolakan seperti ini boleh menukarkan status sesebuah syarikat dari segi harus atau tidak diurusniagakan oleh orang Islam. Hal ini boleh merumitkan individu Muslim yang benar-benar tidak mahu terlibat dalam perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan Islam. Masalah ini sebenarnya dapat diatasi jika kita hanya berurusan dengan Syarikat Sekuriti BIMB kerana ia sentiasa mengikuti segala perkembangan yang boleh menyebabkan perubahan kegiatan utama sesebuah syarikat. Inilah antara sebab mengapa kita harus mendapatkan senarai mutakhir dari BIMB yang mengandungi syarikat yang harus diurusniagakan. Jika kita berurusniaga dengan Syarikat Sekuriti BIMB, masalah ini dapat kita atasi dengan mudah. Jika sesudah kita beli saham bagi syarikat yang dianggap harus, dan kemudiannya ia bertukar kepada status sebaliknya, maka kita haruslah menjualnya, walaupun kita tidak perlu menjualnya pada tahap harga yang merugikan.

Selain daripada faedah memilih saham syarikat yang diharuskan, Syarikat Sekuriti BIMB juga melaksanakan kegiatannya tanpa meliobatkan kita dengan perkara-perkara haram yang lain. Mislanya, kita tidak dibenarkan terlibat dengan amalan riba. Mengikut amalan biasa, apabila kita telah membeli saham melalui telefon atau melalui arahan yang diberi secara langsung di pejabat syarikat sekuriti tertentu, kita diberi tempoh sehingga kira-kira seminggu untuk membayar. Jika kita bayar dalam tempoh yang dibenarkan, maka kita tidak dikenakan apa-apa faedah atau "interest". Sebaliknya, jika kita melewati tempoh berkenaan, kita akan dikenakan faedah. Ada juga syarikat yang mengenakan faedah bagi setiap hari kita bayar lewat.

Dalam kes Syarikat Sekuriti BIMB, ia memerlukan setiap pelanggan menaruh deposit sekurangkurangnya sebanyak 30 peratus daripada jumlah nilai saham yang hendak dibeli. Bagi mereka yang membayar dalam tempoh yang dibenarkan, tidak ada apa-apa lebihan bayaran dikenakan. Sebaliknya, bagi mereka yang melewati bayaran ini, Syarikat Sekuriti BIMB akan menjualpaksa
"force selling" dan sebarang kerugian akan ditolah dari deposit pelanggan itu. Tidak ada apa-apa
bayaran lebihan atau faedah yang akan dikenakan.

Jualpaksa ini sebenarnya dilakukan juga oleh semua syarikat sekuriti lain kerana ini merupakan peraturan yang ditetapkan oleh BSKL. Maka amalan ini tidaklah berbeza. Yang membezakannya hanyalah faedah atau "interest" yang dikenakan.

Ketiga, berurusniaga dengan Syarikat Sekuriti BIMB mengelakkan kita daripada bersyubhat dengan syarikat yang sememang mengamalkan perkara-perkara yang jelas haram. Walau pun pandangan ini mungkin dianggap keterlaluan, hakikatnya ialah bagi mereka yang benar-benar ingin mengelakkan dari yang haram, mereka harus mengelakkan diri dari perkara-perkara yang syubhat juga.

Keempat, dengan peraturan memerlukan deposit dari pelanggan, maka pelanggan tidak digalakkan mengamalkan spekulasi secara keterlaluan yang boleh membawa kepada kerugian yang terlalu besar. Suka saya menyatakan bahawa amalan spekulasi dan kontra itu tidak bertentangan dengan Islam. Banyak juga perkara yang diharuskan oleh Islam, seperti makan dan minum. Tetapi jika kita terlalu banyak makan dan minum, atau langsung tidak makan dan tidak minum pun, sudah menjadi sekurang-kurang makruh hukumnya.

Begitu juga dengan amalan spekulasi dan kontra ini pada prinsipnya harus. Tetapi jika ia boleh mendatangkan mudharrat kepada kita, sudah tentulah humkumnya tidak lagi harus, tetapi sekurang-kurangnya makruh atau pun boleh jadi haram. Hal ini juga dapat kita bendung melalui berurusniaga dengan Syarikat Sekuriti BIMB.

Syarikat Sekuriti BIMB ini juga boleh memberi perkhidmatan sebagai pengurus dana kepada yayasan atau organisasi yang mempunyai modal tetapi tidak berupaya melakukannya sendiri. Yayasan dan organisasi yang inginkan perkhidmatan ini secara Islam tidak lagi terpaksa berasa waswas untuk melantik pengurus dana yang cekap dan Islamic. Walau pun ia baru sahaja ditubuhkan, namun pengalamannya dalam bidang ini agak lama yang telah diusahakan melalui anak syarikat BIMB iaitu Al-Wakalah Nominees.

Usaha yang dibuat oleh BIMB dalam menubuhkan Syarikat Sekuriti BIMB sebenarnya meneroka satu lagi jalan baru ke arah bermuamalah secara Islam. IEMAM memberi sokongan padu kepada usaha ini.

Hanya untuk Ilmu dan Pengetahuan
idhamhr@gmail.com

No comments: