Friday, October 31, 2008

Hukum Jual Beli Saham ~ Internet

Assalamu'alaikum wr wb.
# Artikel ini diterbitkan oleh suratkabar Berita Harian Singapura 28 Okt 2008 lalu. fokusnya adalah hukum jual beli saham menerusi internet. ada 4 Isyu yang diketengahkan bagi mengukuhkan bahawa jual beli saham menerusi internt adalah haram. Pertama: Isu Akad (transaksi), Kedua: Isu Pelaburan Wang Pelabur, Ketiga: Isu Gharar (ketidakpastian), Keempat: Isu Lembaga Penasihat Syariah.

Halalkah Jual Beli Saham Menerisu Internet
DR MUHAMMAD SHABRI ABD MAJID, pensyarah di Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi & Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),

Kita dengan mudah dapat membeli saham menerusi Internet di laman-laman seperti:
Swiss Cash Mutual Fund
I Love You Forever (www.iluf.biz)
www.ugifund.com
www.ABFund. biz
www.WinliFund.com
www.empay.com
www.buyebarrel.us
www.eaindex.com
www.fical.us
www.GlobalForex.us
www.Arabic. com
www.eracapital.com
www.e-investpro.com
www.GG-trade.com
www.smErtindex. net

Apakah saham yang dijual di semua laman ini sesuai dengan prinsip syariah? Jika tidak, apakah justifikasinya?

Majoriti ulama kontemporari termasuk Ketua Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata membeli saham menerusi Internet haram.
Di samping mengandungi unsur syubhah (meragukan) dan gharar (ketidakpastian), membeli saham menerusi Internet juga bertentangan dengan syariah. Setidak-tidaknya, ada empat alasan utama pengharaman pembelian saham menerusi Internet.

ISU AKAD (PERJANJIAN)
Perusahaan penerbit saham memberi jaminan kepada pembeli saham bahawa wang yang dilaburkan pembeli saham tidak akan rugi. Ertinya, pembeli saham tidak menghadapi risiko dan selalu akan memperolehi pulangan. Jaminan ini merosakkan akad pelaburan ala mudarabah.
Perusahaan sebagai pengusaha (mudarib) adalah pihak yang memegang amanah (yad al-amanah) terhadap modal yang dilaburkan pembeli saham (sahib al-mal).

Perusahaan tidak perlu membayar ganti rugi kepada pembeli saham jika modal yang dilaburkan mengalami kerugian, kecuali jika ia terjadi secara sengaja atau kerana kelalaian dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Ini bermakna segala kerugian pelaburan akan ditanggung oleh pelabur (pembeli saham).
Untuk lebih jelas, rujuk kitab Fiqh Mazhab Syafi'ie, Jilid 7, halaman 1319, Cetakan Pertama, 2005, yang merupakan terjemahan daripada kitab Al-Fiqh al-Manhaji.

Dalam operasinya, kebanyakan perusahaan penerbit saham ini menawarkan jumlah pulangan tertentu serta menjamin pulangan secara pasti sejak awal kepada pembeli saham.
Misalnya, Encik 'K' membeli saham sebanyak $10 juta untuk jangka masa lima bulan. Beliau dijamin mendapat pulangan dengan jumlah tertentu, katakanlah $2 juta atau 20 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan. Para ulama telah bersepakat bahawa jaminan pulangan yang ditentukan sebelumnya (pre-determined atau ex-ante) ini jelas bertentangan dengan syarat perjanjian pelaburan dalam Islam. Hukumnya haram kerana ia berbentuk riba.

Rasulullah saw bersabda:
'(Untuk mendapatkan) pulangan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin mutu barang yang dijual).' (Hadis Riwayat As-Syafi'ie, Ahmad, Ibnu Hibban, dan Abu Daud)

Menurut syariat, pembahagian hasil (profit-loss sharing) itu haruslah ditetapkan dengan peratus tertentu, bukannya dalam jumlah tertentu.
Misalnya, peratus pembahagian pulangan itu ditetapkan 50:50 (50 peratus pulangan itu dibahagi untuk perusahaan dan 50 peratus untuk pemegang saham).
Ertinya, semakin banyak pulangan yang diperolehi, semakin banyak jumlah pulangan yang diterima mereka.

Besarnya pembahagian jumlah pulangan yang diterima perusahaan dan pembeli saham tidak diketahui sebelum tiba masanya.
Cara penentuan pulangan yang tidak ditentukan sebelumnya (postdetermined atau ex-post) ini selari dengan syariat.
Bagaimanapun, jika perjanjian pelaburan yang dilakukan tidak berteraskan akad mudarabah tetapi dengan akad qardh (pinjaman).
Walaupun akad itu bersifat pinjaman, kerana pembayaran wang (modal campur pulangan) oleh perusahaan kepada pembeli saham ditunda hingga waktu tertentu dengan pulangan yang telah ditentukan, maka ia berbentuk riba yang diharamkan agama.

ISU PELABURAN WANG PEMBELI
Pembeli saham (pelabur) harus berusaha untuk mengetahui di manakah wang mereka dilaburkan.

Jika ia dilaburkan di tempat-tempat yang diharamkan, seperti di industri arak, pelacuran, perjudian, penternakan babi, instrumen riba dan urus niaga mata wang asing (currency market), maka pulangan daripada pelaburan itu haram.

Fakta menunjukkan bahawa banyak sekali perusahaan penerbit saham yang mencampuradukkan antara pelaburan di sektor-sektor halal dengan haram dan syubhah.
Urus niaga mata wang asing yang halal adalah transaksi pertukaran mata wang asing yang serah terimanya (taqabudh) berlaku pada saat transaksi terjadi, seperti pertukaran mata wang asing ketika kita berpergian keluar negara kerana ia merupakan keperluan transaksi di negara bersangkutan. Jika serah terima mata wang asing tidak berlaku pada waktu yang sama seperti penyerahan tertunda, maka transaksi itu bertentangan dangan syariat.
Hal ini selari dengan Sabda Rasulullah saw:
'Emas dengan emas (ditukar atau diperdagangkan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, kurma dengan kurma, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar langsung (pada waktu bersamaan) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana yang disyukai.' (Hadis Riwayat Muslim)

ISU GHARAR (KETIDAKPASTIAN)
Isu ini terkait dengan besarnya kemungkinan para pelabur (pembeli saham) akan ditipu oleh perusahaan penerbit saham.
Banyak perusahaan penerbit saham yang tidak menerbitkan atau menyembunyikan status, identiti, keadaan kewangan serta kegiatan perniagaan yang diterajui.

Transaksi pembelian saham hanya dilakukan menerusi Internet dan segala perjanjiannya juga dibuat melalui Internet.
Banyak yang membeli saham menerusi Internet kerana tergiur dengan pulangan tetap yang dijanjikan.
Ada juga yang beralasan sekadar mencuba nasib dengan hanya melaburkan wang sedikit, namun berharap menjana untung yang banyak.
Biarpun jumlah wang yang dilaburkan itu sedikit, pada hakikatnya wang itu adalah amanah Allah yang wajib kita jaga dan akan diminta pertanggungjawabannya pada hari akhirat kelak. Kita tidak boleh menggunakannya di sektor yang mengandungi elemen gharar.

Rasulullah bersabda:
'Nabi saw melarang daripada berjual beli dengan kewujudan gharar.' (Hadis Riwayat Muslim)

Disebabkan mengharap untung yang banyak dalam masa yang singkat, para pembeli saham tidak peduli bagaimana nasib wang mereka seandainya perusahaan penerbit saham tersebut menutup laman webnya di Internet.
Ke mana wang yang dilaburkan itu harus dituntut? Adakah undang-undang yang melindungi keselamatan wang yang mereka laburkan itu? Kalau pembeli saham ditipu, ke pengadilan atau mahkamah mana mereka harus mengadu?
Semua ini tidak jelas, gharar.

ISU MAJLIS PENASIHAT SYARIAH
Majlis Penasihat Syariah (DPS) atau Shari'ah Advisory Board dalam perusahaan penerbit saham memainkan peranan penting dalam menentukan segala perjalanan transaksi - apakah ia selari dengan ketentuan syariat ataupun tidak.

Setidak-tidaknya, ketika kita memilih untuk membeli saham halal, kita berpandukan kepada kepakaran DPS dalam menentukan halal tidaknya bisnes yang digeluti perusahaan itu.
Perusahaan penerbit saham menerusi Internet tidak memiliki DPS. Jadi, sangat mustahil bagi kita memastikan bahawa bisnes yang diterajui perusahaan itu sesuai dengan ketentuan agama.
Memang ada beberapa laman yang bersifat interaktif. Pembeli saham boleh menanyakan ke mana wang mereka akan dilaburkan.

Walaupun laman yang bersangkutan menjawab bahawa wang itu tidak dilaburkan di sektor-sektor yang diharamkan, siapakah yang mampu memastikan dan menjamin bahawa jawaban mereka benar?
Inilah sebabnya, setiap perusahaan penerbit saham harus memiliki DPS-nya sendiri yang berwibawa.
Selanjutnya, selain tidak memenuhi kriteria minimum nisbah kewangan dan membayar zakat, kegiatan perusahaan penerbit saham juga mengandungi elemen-elemen riba, gharar dan penipuan.

Atas teras inilah para ulama bersepakat bahawa membeli saham melalui Internet haram.
Hal ini selari dengan beberapa hadis berikut:
'Daripada Abu Muhammad al-Hassan Ali bin Abi Thalib, cucu Rasulullah saw dan penawar hati baginda. Beliau berkata: Aku menghafal daripada Rasulullah: Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.'
'Daripada Abu Abdullah an-Nu'man bin Basyir katanya: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (itu pun) jelas dan antara kedua-duanya (terdapat) perkara-perkara yang syubhah, banyak di kalangan manusia tidak mengetahuinya.'
'Sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhah, (maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya.'
'Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhah, dia akan jatuh kepada perkara yang haram.'

Wassalam.
http://cyberita.asia1.com.sg/
idhamhr@gmail.com

No comments: